Return to Profil Sekolah

Sejarah Sekolah

SMK Seri Perak telah ditubuhkan pada tahun 1958 secara menumpang di SMK Sultan Abdul Aziz, Teluk Intan. Sekolah ini merupakan antara sekolah Menengah Kebangsaan yang menyediakan kelas Tingkatan Enam (Aliran Melayu) terawal di Malaysia, di samping Sekolah Alam Syah di Kuala Lumpur dan beberapa buah sekolah lagi.

SMK Seri Perak terletak dalam lingkungan 3 kilometer dari bandar Teluk Intan. Kedudukan sekolah ini yang hampir dengan kawasan perumahan, hospital, kedai runcit, gerai makan, perhentian bas dan perkampungan menjadi pilihan masyarakat setempat sebagai pusat pembelajaran anak-anak mereka. Lokasinya terletak lebih kurang 100 meter daripada jalan raya.

Pada 13 Januari 1964, bangunan baru sekolah bertempat di Batu 2, Jalan Changkat Jong telah siap dibina. Pada awal penubuhannya, sekolah ini dinamakan SMK Teluk Anson. Kemudian ia ditukar menjadi SMK Seri Perak. Pada tanggal 17 Jun 1965, sekolah ini telah dirasmikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Idris Shah Al-Mutawakkil Alallahi Shah Ibn Al Marhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah. Pada masa itu, terdapat hanya beberapa buah bilik darjah, sebuah makmal sains teras, bilik ERT, sebuah asrama putera dan 2 buah rumah guru. Blok bangunan tambahan mulai dibina pada tahun 1971 yang dirasmi oleh YB Menteri Pelajaran, Tn. Hj. Mohammad b. Yaakob. Ini diikuti penubuhan kelas tingkatan enam aliran sains. Pada tahun 1986, 3 buah bangunan baru dibina dengan 10 bilik darjah dan sebuah bilik guru.

Seterusnya, tahun 1991, sebuah bangunan 2 tingkat dibina (sekarang blok L) dan surau utama didirikan pada tahun 1992. Dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ramli b. Ngah Talib. Pada tahun 1994, sebuah dewan syarahan telah dibina dan siap digunakan pada tahun 1995. Bilik guru yang lebih besar dengan perabot yang lebih selesa telah disiapkan pada tahun tersebut.

SMK Seri Perak Teluk Intan merupakan sebuah sekolah yang banyak menerima anugerah dan pengiktirafan sama ada di peringkat Negeri Perak mahupun di peringkat kebangsaan. Pada tahun 1991, sekolah ini telah dinobatkan sebagai Sekolah Harapan Negara 1991, sekolah ini telah menjuarai pertandingan Kebersihan dan Keselamatan Sekolah Negeri Perak dan mendapat tempat Naib Johan pada peringkat kebangsaan. Sementara itu, pada tahun 1994, sekolah ini sekali lagi meraih anugerah Sekolah Penyayang dari Kerajaan Negeri Perak.

Pada tahun 1998, SMK Seri Perak telah dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai Sekolah Bestari. Pemilihan ini amat membanggakan kerana hanya 9 buah sekolah sahaja dari Negeri Perak yang terpilih menyertai Projek Rintis Sekolah Bestari ini, yang melibatkan 90 buah sekolah di seluruh Malaysia.

Pada tahun 2002, 2 blok baru 3 tingkat telah dibina bagi menggantikan blok B dan C untuk dijadikan blok pembelajaran dan pentadbiran. Kemudahan yang disediakan ialah bilik guru yang lebih kondusif, bilik reka cipta dan bilik kemahiran hidup.

Kini setelah 53 tahun menjadi tonggak pendidikan di Hilir Perak sekolah ini tetap gagah mengatur langkah bergerak maju untuk mencipta kecemerlangan dalam semua bidang, sesuai dengan slogan sekolah : Komuniti Berilmu SEMARAK Terbilang.

SMK Seri Perak telah berjaya menghasilkan sebilangan besar pelajar yang berjaya dalam profesion masing-masing.

Sepanjang 4 dekad menjadi taman ilmu dan pendidikan kepada anak-anak tempatan, SMK Seri Perak telah diterajui oleh 13 orang Pengetua dan seorang pemangku pengetua* yang terdiri daripada :

1. En. V Shanmugam (Januari 1964 –   Februari 1964)
2. En. Foong See   Toon (Februari 1964   – Januari 1965)
3. Tn. Hj. Zainal   Adnan b. Yang Yahya (Januari 1965 –   Oktober 1972)
4. En. Zainuddin   Yeop b. Mat Tamin (Oktober 1972 –   Mac 1974)
5. En. Rozalli b.   Nordin (Mac 1974 –   April 1977)
6. Tn. Hj. Mohd Arif b. Osman (April 1977 –   Oktober 1978)
7. En. Adnan   b. Bashah (November 1978 –   Disember 1979)
8. En. Zainal   Abidin b. Hj Abdullah (Januari 1980 –   Februari 1992)
9. Tn. Hj.   Abdullah b. Othman (Februari 1992   – Julai 1997)
10. En. Shaharuddin   b. Atan (Oktober 1997 –   Julai 1999)
11. Pn. Hjh. Nor Ainy bt. Abd Hamid (Julai 1999 –   19 September 2007)
12. *Tn. Hj. Sanusi   b Haji Suratman (20 September   2007 – 21 Mei 2008)
13. En. Muhd. Suod   b. Mat Thani (22 Mei 2008 –   31 Januari 2009)
14. Pn. Hjh. Naimah   bt. Ali (16 Mac 2009 –   19 Oktober 2011 )
15. Tn. Hj. Masri   b. Suwarto (01 November   2011 – hingga kini )